Sebuah hadis sahih menyebut bahawa takdir itu berlaku ke atas hamba-hamba ALLAH yang telah ditetapkan oleh-NYA. Ia menjadikan segala sesuatu itu takdir yang berlaku dan sudah tertulis sejak azali lagi.Namun begitu, amal dan perbuatan tetap diambil kira kerana sesuatu takdir yang menimpa itu adalah berdasarkan amalan yang dilakukan.
Amalan itu pula berlaku berasaskan takdir yang telah ditentukan.Umar r.a yang bertanya Nabi s.a.w tentang amalan dengan mengatakan:"Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan adakah ia sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda: Sesungguhnya segala sesuatu telah pun ditetapkan pada setiap perkara. Lalu dibalas oleh Umar: Kalau begitu, adakah kita harus menyerah sahaja? Baginda bersabda: Beramallah wahai anak al-Khattab. Segala sesuatu itu sudah dipermudahkan.
Sesiapa yang tergolong di kalangan ahli kebaikan (syurga), maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan sesiapa yang tergolong dalam ahli seksa, maka dia dijadikan beramal jahat untuk ke neraka."- Hadis sahih riwayat Ahmad, jil. 1, ms. 29).Sama juga dengan sebuah kisah yang diceritakan melalui sahih al-Bukhari dan Muslim mengenai protes Musa a.s kepada Adam a.s. Dan juga dalam riwayat-riwayat lain. Kesemuanya menunjukkan kepada kita bahawa amal dan takdir itu saling berkaitan.
Sesuatu takdir yang menimpa seorang itu adalah berdasarkan perbuatannya di mana yang sudah pun ditakdirkan oleh ALLAH S.W.T melalui apa yang akan dilakukan dan dia sendiri tidak menyedarinya.Maksudnya:“Di kalangan mereka (manusia) ada yang celaka dan ada yang bahagia.” – Surah Hud: 105.Kerana itu orang mukmin dan alim mengetahui dan beriman pada segala takdir ALLAH S.W.T baik yang suka ataupun yang pahit. Mereka mengerti kesilapan yang dilakukan itu adalah kerana ditakdirkan dan akhirnya membawa satu takdir yang wajib diimani.Sabda Rasulullah s.a.w:"
Bagi ahli syurga, dipermudahkan supaya mereka dapat beramal dengan amalan ahli-ahli syurga dan ahli neraka dipermudahkan supaya mereka beramal dengan amalan-amalan ahli neraka." - Hadis sahih melalui rijal yang tsiqah (dipercayai) dikeluarkan oleh al-A'jari.Lalu mereka (orang mukmin) segera bertaubat dan memohon kepada ALLAH agar termasuk di kalangan orang yang dipermudahkan amalan kebaikan dan diredhai lalu dipermudahkan untuk melakukan amalan-amalan soleh yang membawa kepada takdir yang baik dan diredhai.Anas bin
Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w kerap membaca doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ
Maksudnya:“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-MU.” Seterusnya para sahabat bertanya: Adakah hati itu boleh dibolak-balikkan? Lalu baginda menjawab: Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari ALLAH dan DIA membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-NYA.” - Hadis sahih riwayat Tirmizi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834.
Bagaimana Menghadapi Takdir yang Pedih, Cara Mendapat Takdir yang Baik serta Menghindari Takdir yang Buruk?
Seseorang perlu menyedari bahawa sesuatu itu telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T sejak dia berada dalam perut ibu lagi. Hal itu berlaku kepada hamba-hamba-NYA.Ibn Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesungguhnya setiap kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari. Kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu ALLAH mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara: iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya sama ada bahagia atau celaka.
Demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-NYA, sesungguhnya sekiranya ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sekalipun sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka, nescaya selepas itu dia akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seseorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga, maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya.” - Hadis sahih isnadnya menepati syarat syaikhan dan diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad.
Maha suci ALLAH hanya kepada-NYA kita kembali dan memohon perlindungan daripada takdir yang buruk serta pengakhiran yang tidak baik.Sesungguhnya kita hendaklah berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan mereka yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan. Berusahalah meminta dan memohon kepada ALLAH S.W.T tanpa henti dan tangguh supaya dimasukkan ke dalam golongan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan berhubung dengan masalah takdir ini:
1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.Maksudnya:“Berkatalah TUHANmu, berdoalah (mintalah) kepada AKU, nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” - Surah Ghafir: 60.Menurut Tsauban r.a sabda Rasulullah s.a.w:"Tiada suatu pun yang dapat menolak takdir selain doa.” - Hadis sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya.
Disepakati kesahihannya oleh al-Zahabi.Hendaklah juga memperbanyakkan amalan soleh seperti sedekah. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Anas bin Malik r.a. Beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan al-Rabb (ALLAH)." - Hadis Hasan riwayat Tirmizi no. 664.
2) Bersabar, bersangka baik terhadap ALLAH, mengharap rahmat-NYA dan tidak berputus asa dalam menghadapi segala derita yang menimpa. Diiringi perasaan takut dan harap pada rahmat dan kasih sayang-NYA.Sabda Rasulullah s.a.w:“Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon (berbaik sangka) terhadap ALLAH.” - Hadis sahih riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi.Hal ini disebut dalam hadis riwayat Syuhaib r.a yang menyebut bahawa baginda bersabda:
“Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya adalah kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka jadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah, maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya.” - Hadis sahih riwayat Muslim no. 2999.
Maksudnya:“Bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada TUHAN mereka.”- Surah al-Kahfi: 28.Maksudnya:“Mintalah kamu pertolongan ALLAH dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya hal itu sangat berat melainkan bagi mereka yang khusyuk.” – Surah al-Baqarah: 45.
3) Bertawakal kepada ALLAH selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk ALLAH dan rasul serta menyerah kepada takdir ALLAH S.W.T dengan penuh keredhaan dan lapang dada berserta yakin.Imam Tirmizi r.a meriwayatkan dalam sunannya sebuah hadis daripada Abdullah bin 'Abbas r.a yang berkata:
"Sesungguhnya aku berada di belakang Nabi s.a.w pada suatu hari dan baginda bersabda:Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajar kamu beberapa kalimah (pesanan), iaitu peliharalah ALLAH (pelihara hak-NYA), nescaya ALLAH akan memelihara kamu. Peliharalah ALLAH (taati perintah-NYA dan jauhi larangan-NYA), nescaya engkau akan mendapati DIA akan membantumu. Jika kamu hendak meminta sesuatu, mintalah kepada ALLAH dan jika kamu hendak memohon perlindungan daripada sesuatu, pohonlah perlindungan daripada ALLAH.
Ketahuilah jika seluruh umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah ALLAH tetapkan kepadamu. Jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkanmu dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah ALLAH tetapkan buat engkau. Telah terangkat kalam-kalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan).” - Hadis sahih riwayat Tirmizi no. 2516.
Bahkan dalam hadis lain melalui riwayat Anas bin Malik turut disebut bahawa baginda sentiasa membaca doa:
بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلىَ الله
Maksudnya:“Dengan nama ALLAH aku bertawakal hanya kepada ALLAH. ”- Hadis Sahih, riwayat Tirmizi no. 2724.Firman ALLAH S.W.T:Maksudnya:“Sesungguhnya ALLAH amat mencintai orang-orang yang bertawakal kepada-NYA.” - Surah Ali Imran: 159.Maksudnya:“Sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH akan menyediakan baginya jalan keluar (daripada kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka olehnya.” - Surah Thalaq : 2 - 3.
-Ustaz Emran Ahlul Sunnah Wal Jamaah -
Friday, February 13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment